Thursday, May 24, 2007

Hendak jadi popular, hinakan Perkhidmatan Awam?

Berdasarkan satu tulisan dalam Utusan Malaysia:

http://putraon9.wordpress.com/2007/05/25/penghinaan-kepada-melayu/
ADALAH sesuatu yang tidak memeranjatkan apabila DAP sekali lagi membawa isu yang menyentuh tentang kepentingan dan sensitiviti Melayu di Malaysia.

Melalui laman web Malaysiakini bertarikh 23 Mei, Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua membuat kenyataan bahawa penjawat awam hanya terdiri daripada orang Melayu yang mengalami masalah pengangguran.


Saya amat bersetuju dengan permintaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa kenyataan Tony Pua yang disiarkan di Malaysiakini semalam bersifat menghina dan sangat angkuh terhadap lebih sejuta kakitangan awam di negara kita yang tercinta ini.

Kenyataan Tony Pua yang disiarkan di Malaysiakini berhubung dakwaan bahawa perkhidmatan awam hanyalah ‘tapak pembuangan bagi penganggur berijazah golongan Melayu’ – sememangnya satu pernyataan yang bersifat sangat sensitif dari segi politik.

Bukan sekadar pernyataannya yang bersifat sensitif, bahkan satu penghinaan kepada semua kakitangan awam di Malaysia, terutamanya kepada golongan bumiputera.

Tidakkah beliau tahu bahawa sekarang ini, peluang kemasukan ke dalam dunia pekerjaan sektor awam sudah semakin sengit dan banyak persaingannya? Sesi temu duga, ujian dan sebagainya semakin payah dan susah.

Malahan yang telah lulus ujian bertulis kerajaan di kalangan bumiputera sangat ramai tetapi masih belum mendapat panggilan temu duga dengan sektor awam tersebut.

Sememangnya, kenyataan Tony Pua itu langsung tidak berasas dan perlu ditolak sama sekali. Ini kerana buat pengetahuan beliau, ramai kakitangan awam sanggup melepaskan tawaran kerja dengan gaji dan manfaat yang lumayan di sektor swasta disebabkan mahu berkhidmat dan berbakti kepada negara.

Apatah lagi sekiranya ditawarkan gaji yang cukup lumayan di sektor swasta tetapi seringkali dianaktirikan oleh diskriminasi kaum di sektor swasta itu sendiri.

Cuba kita lihat sahaja di dalam persekitaran pekerjaan sektor swasta. Seringkali dipaparkan, iklan-iklan pekerjaan hanya meminta calon-calon yang mempunyai keupayaan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin.

Apakah niat dan maksudnya ini? Bagaimana dengan peluang calon-calon yang tidak pernah berpeluang untuk mempelajari bahasa tersebut, terutamanya daripada kaum-kaum bumiputera lain di Malaysia?

Pembaca fikirkanlah, walaupun surat ini telah disiarkan pun, mereka masih terus dengan syarat mereka itu. Ini kerana, kerajaan kita sangat berlemah lembut dalam menangani isu tersebut.

Acap kali ditegur berkenaan perkara ini termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi perkara tersebut terus berleluasa dek kerana kebiadapan syarikat-syarikat yang meletakkan syarat tersebut sebagai salah satu syarat wajib mereka, yang jelas tidak menjaga hati dan sentimen kaum-kaum lain di Malaysia.

Tetapi, mengapakah perkara yang sedemikian tidak diambil peduli pula oleh Tony Pua?

Seperti mana yang telah diperkatakan oleh Khairy, sememangnya amat nyata sekali, Tony Pua hanya memperkecilkan kebolehan, jasa serta sumbangan kakitangan kerajaan kepada negara.

Tony Pua secara tidak langsung telah melemahkan semangat kakitangan kerajaan yang sebenarnya telah memilih jalan yang mulia untuk berkhidmat kepada kerajaan dan negara.

Bahkan sangat jelas di sini bahawa, kata-kata Tony Pua itu juga telah menjejaskan imej perkhidmatan awam pada masa kerajaan bertungkus-lumus untuk memperkenalkan pelbagai langkah bagi meningkatkan lagi mutu sistem penyampaian perkhidmatan tersebut.

Lantaran itu, saya sangat menyokong supaya Tony Pua meminta maaf secara terbuka kepada semua kakitangan kerajaan disebabkan kenyataan beliau dalam laman web tersebut.

Sedangkan dua orang ahli Parlimen kerajaan boleh meminta maaf secara terbuka, apatah lagi orang yang bukan berstatus ahli Parlimen dari parti pembangkang ini, yang jelas sangat menyinggung hati semua kakitangan awam di Malaysia.

– AMIR SHAHRIZAT MOHD. AZIZAN, Seremban.

maka inilah komen saya
=======================

Saya juga merasa terhina dengan tuduhan Tony Pua ahli DAP ini--sebagai seorang Melayu yang pernah berkhidmat dengan sebuah badan berkanun (Kerajaan). Walaupun saya ada menulis dalam blog saya perkara-perkara yang boleh dianggap kritis (terhadap pemerintah) sebagai pembayar cukai dan rakyat, namun apabila bangsa (dan rakan sekerja) saya dihina begini oleh seorang ahli politik DAP, saya tidak boleh hanya berdiam.

Isu yang dibawa oleh Tony Pua ini adalah satu isu perkauman yang amat tebal. Dia memperlihatkan kebenciannya kepada orang Melayu yang bekerja di sektor awam. Seolah-olah semua Melayu di sektor itu "sudah tidak laku" di mana-mana sektor lain.

Tanpa sebarang kajian yang saintifik Tony Pua membuat kesimpulannya berdasarkan semata-mata kepada persepsi dan stereotaipnya terhadap bangsa Melayu. Dia sememangnya patut meminta maaf kepada Perkhidmatan Awam negara ini kerana menghina perkhidmatan itu yang tanpanya, jentera kerajaan akan tergendala.

Walaupun terdapat kelemahan di sana sini (seperti perkhidmatan awam di mana sahaja - termasuk USA, UK, dan PRC dll.) namun jasa perkhidmatan awam kepada semua rakyat - baik Melayu, Cina atau India - tidak dapat dinapikan oleh sesiapa. Ini Tony Pua kena tahu dan faham sebagai penasihat DAP. Jika pun hendak popular, janganlah menyentuh perkara-perkara yang boleh mencetuskan satu lagi 13 Mei. Belajarlah dari sejarah negara ini yang kamu menjadi warga negaranya.

MBA@64

1 comment:

What A Lulu said...

dalam versi bahasa inggeris, tony pua menyatakan bahawa
"The unwieldy civil service we have today has, in a large part, to do with the Government's policy of making our civil service the dumping ground for the politically sensitive constituency of unemployed Malay graduates. For example, last year alone, the Public Services Department (PSD) and Public Services Commission have been urged to speed up the recruitment of graduates to fill some 30,000 vacancies in the civil service. This call was made by the Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak to overcome the problem of unemployed graduates, of which an overwhelming majority was bumiputeras.
By absorbing these graduates who were not able to obtain gainful employment in the private sector, it results not only in a poor quality workforce within the civil service, it also increases the Government's financial obligations."

Utusan Malaysia memutar belitkan kenyataan Tony, menyatakan, "penjawat awam hanya terdiri daripada orang Melayu yang mengalami masalah pengangguran."

Kedua kenyataan ini membawa maksud yang berlainan. Jauh berbeza.

Tuan, I hope you will take the time to read what TP has to say in his blog, www.tonypua.blogspot.com and understand for yourself the point that TP was trying to bring forward.
and in the midst of it, you will also see an example of how the mainstream media is at "work".