Sunday, April 22, 2007

Memancing Undi di Ijok 2007

Apakah tujuan sesebuah parti bertanding dalam pilihan raya? Untuk kalah atau untuk menang? Walaupun ada calon tertentu, seperti calon bebas, mungkin bertanding untuk sekadar hendak ”kacau daun” atau hendak memecahkan undi, namun semua parti politik bertanding untuk menang. Sama ada mereka yakin boleh menang atau tidak, itu persoalan lain. Jikapun mereka rasa tidak boleh menang, mereka akan terus melakukan kempen untuk menarik pengundi mengundi parti mereka.

Berkempen bertujuan menarik pengundi untuk mengundi parti kita, baik parti yang memerintah mahupun parti ”lain”. Saya cuba nak elakkan perkataan ”pembangkang” kerana, setahu saya, dalam amalan demokrasi berparlimen, istilah ’pembangkang’ digunakan dalam sidang parlimen sahaja, di mana ahli-ahli di susun mengikut parti—sama ada parti yang memerintah atau parti ’pembangkang’.

Pada ketika ini satu pilihanraya kecil akan diadakan di kawasan Ijok di negeri Selangor, berikutan kematian ahli Dewan Undangan Negeri,
Datuk K. Sivalingam. Parti BN dan PKR sedang ”bergelut” untuk ’merebut’ hati dan minda pengundi Ijok. Perkataan ”memancing undi” digunakan oleh parti ”luar” yang melawan parti penutur. Jika penuturnya orang BN, maka apa sahaja usaha parti lawan akan ditafsirkan usaha ”memancing undi”. Begitu juga sebaliknya.

”Memancing” membawa konotasi yang buruk, jika dikaitkan dengan pilihan raya. Dalam pertuturan seharian, memancing sejenis pekerjaan yang dilakukan oleh nelayan. Bukan-nelayan yang suka memancing menganggapnya sebagai satu hobi atau riadah. Tidak ada konotasi buruk terhadapnya.

Jika tujuan berpolitik ialah untuk memenangi pilihan raya, maka ”memancing undi” memanglah kerja politikus. Hari ini saya terbaca dalam akhbar tuduhan BN kepada PKR bahawa PKR memancing undi di Ijok. Apakah umpan yang digunakan? Sebenarnya PKR bukan sebuah parti yang banyak membawa umpan jika dibandingkan dengan BN. Jika PKR yang tuduh BN memancing undi, ada jugalah kredibilitinya.

BN membawa banyak ”umpan” ke Ijok. Umpan terbesar ialah “janji” pembangunan yang bernilai RM36 juta. Wang siapa? Wang kerajaan (rakyat), bukan wang parti BN. DPM, Najib Razak bertanya, jika Tan Sri Khalid Ibrahim menang, adakah Khalid akan membelanjakan wang peribadinya untuk membangunkan Ijok? Saya rasa cakap begini agak kebudak-budakan bagi seorang DPM.

Adakah jika BN menang, calon BN akan menggunakan wang elaun ADUNnya untuk membangunkan Ijok? Saya sendiri pun berasa bodoh menanyakan soalan ini. Mana ada wakil rakyat yang menggunakan wang saku untuk pembangunan kawasannya? Kalau hendak derma untuk kenduri itu mungkin ada; ataupun untuk membayar yuran sekolah seorang dua murid miskin di kawasan sendiri. Tapi untuk membuat jalan dan longkang, saya tak percaya Samy Vellu pun pernah pakai duit sendiri.

Nampaknya di Malaysia ini, jika Ijok dimenangi oleh PKR, segala pembangunan akan dibekukan oleh Kerajaan BN di Ijok. Jalan yang baru diturap itupun agaknya, kalau boleh, mahu dikorek semula supaya ‘padan muka’ pengundi yang tidak “memakan umpan” tadi.

Ternyatalah di Malaysia, pembangunan hanya dilakukan di kawasan yang dimenangi BN sahaja. Kawasan parti pembangkan akan dibiarkan. Betulkah begitu? Tidak betul seratus peratus.

Ijok telah dimenangi oleh BN sejak dari dahulu lagi. Mendiang Datuk Sivalingam khabarnya pernah menjadi ADUN Ijok selama empat penggal! Dia mula menang di Seri Cahaya dalam tahun 1990. Mengapakah kerajaan tidak membangunkan Ijok sebelum pilihan raya kecil ini? Mengapa tunggu wakil rakyat mati baru mahu membawa pembangunan.

Jawapannya mungkin berkait rapat dengan kegigihan ADUNnya melobi kerajaan (negeri dan Pusat). Mungkin Sivalingam tidak begitu berpengaruh di DUN Selangor. Tetapi, bukankah YB itu ahli EXCO Kerajaan Negeri? Mengapa dia tidak berjaya menarik pembangunan ke Ijok selama lebih 10 tahun dia menjadi ADUN Ijok, sejak 1995?

Nampaknya, jika seseorang ADUN gagal membawa pembangunan ke kawasan DUNnya, dia patut letak jawatan segera. Kemudian akan diadakan pilihan raya kecil di kawasan itu. Kerajaan BN terpaksa menjanjikan pembangunan di kawasan itu serta merta untuk ”memancing undi.” Maka dengan perletakan jawatan oleh ADUN itu, berjasalah dia kepada pengundi-pengundi kawasannya.

Tetapi ini memerlukan pengorbanan yang besar—yang tidak ada ADUN sanggup melakukannya. Sebabnya, dia tidak akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya kecil itu! Hilanglah kerjaya politiknya. Setiap politikus bertujuan menjadi politikus seumur hidup, atau sampai ke suatu tarikh ia disingkirkan oleh ketuanya, yang mana satu datang dahulu!

OK, adakah pembangunan dinapikan di semua kawasan ’pembangkang’? Jika kawasan itu dikuasai oleh DAP, biasanya kawasan itu kawasan bandar. Contohnya Seputeh yang diwakilii oleh Teresa Kok. Sebab Seputeh adalah kawasan bandar, pembangunan tetap diteruskan. Jalan raya sentiasa diperbaiki, lampu jalan sentiasa bernyala, rumput berpotong, dll. Pendek kata, penduduk Seputeh tidak rugi apa-apa jika diwakili oleh ’pembangkang’. Jadi, mereka terus mengundi DAP. Kawasan bandar susah diabaikan kerana banyak orang-orang 'penting' tinggal di bandar.

Tetapi jika kawasan itu luar bandar, pengundi memang mengundang ’nahas’ jika mengundi pembangkang. (Jangan guna Kelantan, sebab negeri itu terkecuali). Mahu tidak mahu, mesti undi BN jika mahu pembangunan. Contoh terbaik ialah Kubang Pasu. Kawasan ini diwakili oleh Dr Mahathir untuk sekitar 30 tahun; beliau adalah Ketua UMNO Bahagian itu sepanjang tempoh itu.

Banyakkah pembangunan di Kubang Pasu? Memang ada pembangunan di sana, seperti penubuhan UUM, Politeknik, Zon Perdagangan Bebas Bukit Kayu Hitam, Lebuh Raya PLUS, dll. Namun begitu, masih terdapat kampung-kampung yang belum mendapat api dan air. Sebab utama agak saya ialah penduduknya menyokong PAS. Tetapi ini satu ’generalization’ yang mungkin tidak benar; kerana ada juga kampong UMNO yang belum kelihatan begitu membangun. Keseluruhan Kubang Pasu nampak masih ’rural’ (kedesaan).

Jadi, sebagai penganalisis isu-isu sosial-politik, saya terkesan berlaku "diskriminasi ideologi" di Malaysia. Kawasan yang menyokong ’pembangkang’ akan dipinggirkan dari pembangunan, manakala kawasan ’parti kerajaan’ akan mendapat pembangunan – atau janji-janji ke arah itu. Kebanyakan rakyat bukan-Melayu menuduh kerajaan mengamal diskriminasi kaum. Tetapi di sebalik itu, mereka terus menyokong BN, kecuali di kawasan bandar (seperti Seputeh, Bukit Gelugur, Ipoh Timur, Bagan, Tanjung, dll). Jadi, yang menuduh itu hanya golongan minoriti sahaja. Barangkali, cuma bloggers?

No comments: