Wednesday, April 25, 2007

Zainuddin Mengarah BBC

Dalam Utusan Malaysia hari ini (26 April 2007) saya terbaca satu berita di muka hadapan bertajuk ”Zainuddin bantah BBC tonjol pemimpin ditolak rakyat”. Saya petik bahagian pertama berita itu di bawah:

KUALA LUMPUR 25 April – Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin membantah tindakan British Broadcasting Corporation (BBC) memberi tempat kepada pemimpin parti pembangkang yang telah ditolak oleh rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mengenai politik dan keadaan semasa di negara ini dalam rancangan televisyen kendaliannya.
Katanya, tindakan BBC itu tidak membantu dalam meningkatkan hubungan antara Britain dan Malaysia, serta tidak menghormati keputusan demokratik rakyat Malaysia yang menolak perjuangan parti pembangkang.
“Adalah wajar kalau diberikan kepada pihak pembangkang yang memang sudah ada tempat dalam politik di Malaysia, tetapi kenapa beri fokus kepada orang yang telah ditolak oleh kerajaan? Apakah tujuan BBC berbuat demikian?” katanya kepada pemberita di Angkasapuri ketika ditanya mengenai hasil lawatan empat harinya ke London dan Paris baru-baru ini.
Bantahan itu telah disampaikan sendiri oleh Zainuddin kepada Rita Hyne, Ketua Editor Bahagian Asia, BBC World, ketika beliau melawat BBC sewaktu mengadakan lawatan kerja di London.


Saya berasa malu bagi pihak rakyat Malaysia kerana seorang Menteri Kerajaan Pusat tidak merasa malu meminta sebuah badan penyiaran bebas bertaraf dunia seperti BBC untuk “tidak memberi tempat kepada pemimpin parti pembangkang yang telah ditolak oleh rakyat ... untuk menyuarakan pandangan mengenai politik dan keadaan semasa di negara ini dalam rancangan televisyen kendaliannya.”

Apakah Zainuddin Maidin sebagai seorang bekas wartawan tidak memahami peranan BBC dalam dunia penyiaran, sebagai badan bebas yang tidak ada kena mengena dengan Kerajaan British, yang kini dipimpin oleh Tony Blair? Sehingga ada kalanya, BBC juga boleh mengkritik Blair, misalnya dalam penglibatan Blair dalam Perang Iraq, yang dipimpin oleh George W Bush, Presiden AS.

Adakah Zainudin berfikir bahawa BBC itu seperti Kementerian Penyiaran yang diketuai oleh beliau sendiri? Iaitu sebuah kementerian yang tugasnya tidak lain daripada menjadi alat propaganda semata-mata? Memanglah menjadi tugas Zainuddin memastikan tidak ada sesuatu kritikan dibuat terhadap kerajaan yang dia menjadi anggota kabinetnya. Tetapi bidangkuasa Zainudin adalah semata-mata terhad kepada media cetak dan elektronik arus perdana di Malaysia sahaja, di mana beliau boleh menganggap dirinya ’raja’ pengawal media arus perdana.

Beliau tidak berkuasa ke atas media alternatif dan juga Internet.
Beliau telah meminta BBC agar jangan lagi memberi ’pentas’ kepada sesiapa ahli politik yang tidak sebulu dengan ahli politik BN yang beliau menjadi anggotanya, lebih-lebih lagi yang ”ditolak oleh rakyat.”

Apakah maksud ”yang ditolak oleh rakyat”? Jika ia bererti ”tidak ada pengikut” langsung, maka tidak ada pemimpin yang ditolak oleh rakyat. Kalaupun pemimpin itu tidak menang dalam pilihan raya, itu bukan alasan bagi Zainudin meminta BBC tidak memberi peluang kepada pemimpin tersebut. Apakah, dalam skima Zainuddin, pandangan minoriti tidak ada tempat langsung di Malaysia ini, yang sedang menuju ke era Wawasan 2020?

Memang diakui, pemimpin parti ”pembangkang” di Malaysia tidak ada tempat dalam media arus perdana. Media tersebut sentiasa memutarbelitakan kenyataan mereka supaya mereka kelihatan seperti ”crook” dalam cerita ”koboi dan Indian”. Hanya media luar negara, yang bertaraf dunia, seperti CNN, BBC dan Aljazeera sahaja yang memberi peluang kepada parti pembangkang.

Adakah Zainuddin merasa cemburu dan tergugugat dengan peluang yang diberikan oleh media antarabangsa kepada pemimpin golongan minoriti untuk menyuarakan pendapat mereka tentang cara pemerintahan di Malaysia?

Nampaknya, Zainuddin ini menentang globalisasi. Mungkinkah dia terpengaruhi dengan konsep ’glokaslisasi’ yang sedang dipopularkan oleh DPM Najib Razak?

Penulis bukan anggota mana-mana parti pembangkang, tetapi sekadar mempertahankan kebebasan media dalam menyatakan kebenaran dan memberi ”equal time” kepada golongan minoriti. Mereka ini juga rakyat yang membayar cukai dan tidak wajar ditindas.

No comments: